Sumber: Mok Soon Sang - Siri Pendidikan : PENGURUSAN PUSAT SUMBER & PERPUSTAKAAN, 2008.Pembinaan perpustakaan di Malaysia bermula pada tahun 1959 di bawah Lembaga Perpustakaan Negara yang ditubuhkan berlandaskan memorandum yang diusulkan oleh Malayan Library Group pada tahun 1956.
Selanjutnya, sebuah Jawatankuasa Perpustakaan Negara ditubuhkan pada tahun 1966 untuk bertanggungjawab membina Perpustakaan Negara di Kuala Lumpur. Penubuhan Jawatankuasa Perpustakaan Negara adalah berdasarkan laporan Kajian Arkib Negara Malaysia pada tahun 1963. Maka, Perpustakaan Negara menjadi satu unit di bawah Arkib Negara.
Selaras dengan Dasar Penubuhan Perpustakaan Negara. Akta Pemeliharaan Buku-Buku yang diluluskan pada tahun 1966, mewajibkan penerbit menyerah dua naskah buku dalam setiap terbitan mereka kepada Perpustakaan Negara.

Bahagian Rujukan dalam Perpustakaan Negara mula dibuka pada awam selepas Akta Perpustakaan Negara 1972 diluluskan. bagaimanapun, perkhidmatan pinjaman buku kepada awam hanya dapat dimulakan pada tahun 1975. Pada tahun 1977, Perpustakaan Negara menjadi sebagai salah satu Jabatan Kerajaan Persekutuan.
Mulai tahun 1982, Perpustakaan Negara dilantik menjadi Pusat Kebangsaan yang rasmi untuk bertanggungjawab mengeluarkan
International Standard Book Number (ISBN). Apabila Akta Perpustakaan 1986 diluluskan, semua penerbit diwajibkan menyerahkan 5 naskah bahan cetak setiap terbitan seperti buku, peta, carta dan poster, dan 2 naskah bahan bukan cetak, seperti filem, mikroform, rakaman audio-video, termasuk bahan eletronik yang lain kepada Pusat Kebangsaan ISBN di bawah Perpustakaan Negara.
Mulai tahun 1988, penggunaan sistem komputer untuk pengurusan pentadbiran dan perkhidmatan dilancarkan oleh Perpustakaan Negara. Dua tahun kemudian, ahli-ahli Perpustakaan Negara dapat mula menggunakan
Online Public Access catalogue (OPAC) melalui komputer untuk mencari sumber maklumat dalam koleksi Perpustakaan Negara.